Emir Abu Khalil Ulangtahun ke-60 Israel

Khamis, 15 Mei 2008 genap sudah penjajahan Israel di tanah Palestin selama 60 tahun, menandakan kelemahan umat Islam paling nyata apabila penjajahan British pada 1917 membuat penghijrahan Yahudi besar-besaran


Di Mana Posisi Kita?
comment No Comments Written by Emir Abu Khalil on September 18, 2008 – 7:23 pm

kala ini saya sedang mengulangkaji semula filem animasi, Muhammad the Last Prophet bagi mencerahkan semula memori yang agak kusam daripada basuhan sejarah nabawiyyah. juga bagi memperbaharui iman di petang ramadhan. biar baru beberapa ketika menonton, air mata sudah laju mengalir, beberapa kali lengan baju saya gunakan untuk mengesat air yang mengalir.

kerana apa saya mengalirkan air mata? meski hanya sekadar animasi, namun, penghayatan terhadap sirah nabawiyyah adalah lebih dari sekadar melihat cerita, malah ia menjangkaui takah faham pada akal, dan cerna pada hati. keterharuan tidak dapat dibendung tatkala mana perhimpunan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam menjadi penyaksian syahadatain daripada hadirin malam itu. daripada berbeda status dan bangsa, kaya dan miskin, semuanya menjadi pengikut kepada satu agama yang baru ketika itu, di sebalik kekayaan berhala yang mengelilingi kaabah.

mereka dengan rela hati menerima dan menyaksikan bahawa Allah itu Esa, dan Muhammad yang menjadi saksi syahadah itu pesuruh-Nya. ini tidak lain kerana ajaran yang dibawa Muhammad, menghapuskan kasta dan taraf, tiada diskriminasi, meninggikan darjat perempuan, tiada membedakan warna kulit atau apapun sahaja. bahkan menyatukan mereka di bawah satu kebersamaan, yakni Islam itu milik semua, dan semuanya tiada beda di sisi Allah, kaya, miskin, kasta rendah mahupun tinggi, melainkan iman sahaja menjadi ukuran.

apalagi melihat kesetiaan Ummul Mukminin, Sayyidatina Khadijah bintu Khuwailid. biar diberi amaran oleh sepupunya, seorang rahib (Waraqah bin Naufal) mengenai bahaya yang mendatang kepada baginda SAW, dengan kenabian yang dibawanya, tetap mempercayai cerita dan ajaran yang dibawa baginda, malah tidak ragu-ragu lagi menyatakan keislamannya dan keimanannya kepada Allah. siapa yang tidak merasakan tuahnya menjadi zaujah seorang lelaki yang al-amin gelarnya, tiada pernah bohong dan dusta pada bicaranya, sentiasa mulia perilaku akhlaknya, lantas dilantik dan dipilih Allah menjadi nabi? kerana keimanan beliau kepada Islam dan ajaran baginda nabi SAW, segala sumber pendapatan dijadikan bantuan kepada penyebaran dan perkembangan Islam, sehinggalah ke akhir hayat beliau.

tidak kurang dengan Sumayyah yang direjam dengan tombak oleh Abu Jahal, akhirnya menjadi orang Islam dan wanita pertama yang syahid dalam Islam mempertahankan aqidah. ketegaran Bilal bin Rabah r.a mempertahankan aqidahnya, meski diseksa dengan bilasan cemeti, meski dihimpit dengan batuan yang berat, tiada tolok bandingnya kerana beliau memahami Islam dengan erti kata sebenar. Islam pada mereka bukan sekadar agama, malah Islam adalah satu tata cara kehidupan. teringat kata-kata beliau kepada tuannya, Umayyah dengan menyebut; “Tuan boleh miliki tubuh saya, tapi tidak roh saya, ia milik Allah”.

begitulah pula pembelaan dari Hamzah r.a, paman tercinta kepada nabi SAW. tatkala mana nabi dihina dan dicerca Abu Jahal, beliau datang ke perkarangan Kaabah dan membela baginda dengan menyatakan keislamannya terang-terangan. kerana mempercayai tiap-tiap ajaran dan kata-kata baginda, dengan merasakan kebenaran wahyu pada hatinya.

kemurahan dan kebaikan Najasyi, Raja Habsyah yang bernama Ashamah tidak dapat dinafikan. kerana keadilan dan waras fikirnya, tidak membenarkan utusan musyrikin untuk mengambil pulang rombongan Islam ke Habsyah, malah mengusir mereka apabila mendapati ajaran Islam yang membenarkan perutusan nabi Isa, seorang lelaki yang dimuliakan, bahkan Islam baginya umpama cahaya yang tembus dari dua lubang, tapi dari sumber yang sama. tidak cukup dengan itu, apabila diseru baginda nabi SAW, beliau dengan gembiranya mengucapkan dua kalimah syahadah, menjadi salah seorang raja yang pertama memeluk Islam. tidak cukup dengan itu, menjadi wali bagi pihak baginda nabi SAW untuk meminang Ummu Habibah yang suaminya telah murtad dan mati.

di sebalik cerita-cerita ini, apa yang ingin saya ungkapkan bukan sekadar lipatan sejarah, tetapi ia adalah satu kisah bagaimana orang-orang atau figur-figur ini lantang dalam menyatakan keislaman mereka (dalam konteks ini lantang dalam tindakan) dan mempertahankan aqidah mereka. malah ukhwah yang terbina sesama mereka turut dirasa dan diraikan dengan hebat, kerana mereka erti apa itu Islam. lihatlah Abu Bakar yang menebus Bilal bin Rabah r.ma, bukan sekadar 10 syiling emas, malah 100 syiling emas pun sanggup dibayar beliau untuk menebus Bilal. mereka menjadi muslimin yang bangga dengan apa yang mereka pegang, apa yang mereka anuti, apa yang mereka hidupkan. bagaimana kita? bagaimana posisi kita?

di mana kita hari ini tatkala Islam di cemuh? di mana kita hari ini tatkala Islam dicaci? di mana kita hari ini tatkala Islam dicerca dan dihina? kebanyakan kita hari ini masih lalai dan leka, ramai daripada kita hari ini, lebih suka duduk berlenggang kaki di rumah, membaca majalah-majalah yang melekakan, menonton siaran televisyen yang tidak menghidupkan iman, menonton drama-drama, atau siaran-siaran yang mematikan hati dan iman, pergi ke kelab malam, menari, hisap dadah, merogol, membunuh, apa lagi? sebut apa yang tidak ada pada ummat Islam hari ini? semua ada.
mangsa Yahudi Zionis
tatkala sahabat-sahabat, para tabi’en, para tabi’ tabi’en terdahulu berhempas pulas membela, memartabat, dan meninggikan syu’ur Islam, apa yang kita buat hari ini menyumbang kepada tersebarnya syahadah? apa yang kita lakukan hari ini yang mendidik hati-hati dengan iman dan Islam? kita hari ini lebih senang merusuh, melakukan tunjuk perasaan, tetapi apabila diajak duduk dan beriman sejenak, diajak mendengar ceramah-ceramah, diajak ke kelas agama, diajak belajar al-Quran, ramainya tolak, dan terus menjauhi orang-orang yang mengajak mereka. tahniah, kalian telah memilih untuk mematikan hati kalian dengan dunia!!

sedih rasanya membandingkan ummat terdahulu dengan sekarang, kerajaan Islam dahulu tidak pernah berhenti jihadnya, hari demi hari syahadah dilafazkan, hari ini, hari demi hari, ramai yang murtad. sedih melihat kekuatan ummat Islam, harapkan ramai, tapi lemah dan umpama buih-buih di lautan. ketika 16 Hijrah, Amru bin al-’As memimpin tentera Islam membuka Mesir (di bawah pemerintahan Saidina Umar al-Khattab), dia cuma membawa 8000 (secara literal, Umar hanya menambah 4000 orang, tetapi dia berkata bahawa dalam 4000 orang itu, ada empat orang yang kekuatannya bersamaan dengan 1000 orang, Muhammad ibn Maslamah, Zubair ibn Awwam, Ubadah bin Samit, dan al-Muqdad ibn Aswad r.hum) orang tentera sahaja untuk melawan 1 000 000 tentera Mesir dan Rom. tapi dengan kekuatan yang seramai itu, beliau bukan mengambil masa bertahun-tahun tapi, 4 bulan untuk membuka Mesir. mampukah kita?

sudahlah ilmu cetek, jahil, tidak pandai, jasad tidak kuat, iman belum tentu utuh, kita sombong pada Allah, kita sombong pada nabi, kita sombong pada Islam, sombong pada al-Quran dan as-Sunnah, walhal itulah yang akan memberi pertolongan, syafaat di akhirat kelak. marilah kita refleksi diri, renungi dan hisab diri, perbaiki kesilapan, tambahkan ilmu, beramal pula dengannya. kalau tidak, kitalah bangsa yang rugi.

akhirnya, mari soal diri kita, di mana posisi kita?

If you enjoyed the article, why not subscribe?

Browse Timeline

Related Post

  • No Related Post

Post a Comment

About The Author: Emir Abu Khalil

adalah diriku seorang fakir yang hina, dari lembah yang hina, ingin hudhur untuk mensucikan diri agar bisa derap memijak lembah yang suci. adalah seorang insan yang lupa, sering butuh kepada peringatan dan ingatan. hanya mahu mencari redha dan cinta Tuhan yang maha Hebat, Tuhan Rabbul Jalil. apa yang ada pada diri cumalah apa yang sedikit Allah berikan dari sekalian nikmat-Nya. sungguh, Dia yang Maha Kuasa, Maha Besar... tidak terhitung meski lautan tinta menjadi tulisan akan nikmat-Nya... dan diri sedang bertatih, berdikit-dikit, mencari Tahu, mencari Faham, mencari Teman, agar ketemu Cinta... CINTA agung yang ada cuma pada-Nya

Want to subscribe?

 Subscribe in a reader Or, subscribe via email:
Enter your email address: